Ianya merupakan sejenis alat penangkapan ikan Melayu tradisional yang terdapat dalam berbagai-bagai jenis. Antaranya ialah "Serkap Perlis", "Serkap Banjar" dan "Serkap Kedah"."Serkap" lazimnya diperbuat daripada buluh, rotan dan akar. Buluh yang biasa digunakan ialah buluh duri dan buluh tela manakala akar yang biasa digunakan ialah akar pukang dan rotan biasa. Serkap biasanya digunakan pada musim membajak sawah. Mereka akan menurut di belakang tenggala yang ditarik oleh seekor kerbau semasa membajak. Kini diturut di belakang traktor atau kubota."Serkap" digunakan dengan cara direjam ke dalam air dengan cara berulang kali, apabila terasa kocakan ikan membelah dinding serkap di dalam air, ini menunjukkan ikan telah mengena. "Serkap" akan ditekan dengan lebih kuat ke dalam supaya ikan yang berada di dalam "serkap" tidak akan keluar, kemudian ikan akan digagau dengan tangan melalui "mulut serkap" dengan berhati-hati agar tidak disengat ikan yang berduri seperti ikan keli."Serkap" juga dijadikan model oleh orang-orang tua dahulu untuk menyalur atau melahirkan pemikiran. "Serkap" pada lahirnya merupakan "penangkap rezeki" menjadi luas maknanya dalam masyarakat tradisional. Terdapat rangkap pantun berkait yang dipusakakan oleh nenek moyang tentang "serkap".
Antaranya:
Sungguh rendang pohon kuini
Langsai buahnya dilahap orang
Menuduh orang tiada bukti
Bagai mengguna "serkap jarang"
Langsai buahnya dilahap orang
Biji ditabur merata tempat
Bagai mengguna "serkap jarang"
Peluh mengucur laba tak dapat.
Ada juga dipantunkan oleh orang tua kita zaman dahulu:
"Serkap" ikan di tengah bendang
Dapat keli bisa sengatnya
Cakap tuan biarlah terang
Tidak kami terpinga-pinga
"Serkap" kini telah dimajukan dan dijadikan sebagai bahan hiasan kraftangan dalam saiz yang kecil.
Serkap PerlisSerkap Banjar
Serkap Kedah
Cara menangkapikan menggunakan serkap
Kalau dulu - kegiatan menyerkap ikan ni .. depan masjid al-hidayah. Mula menyerkap dari carok depan masjid terus ikut alur sampai kat belakang kampung Pak Ngah Awang. Lepas tu .. litas pi ke ke bendang Tok Man Kolek di Kg Bendang Tok Teri ... kemudian kalau rasa kuat lagi pi .. kat Charok Dalam dan Bendang Pak Bahar. Kawasan belakang rumah Pak ngah Awang tu... ikan haruan besar-besar.. Kadang-kadang pi juga menyerkap dekat bendang Na Phik terus ke Kampung Bagan. Kat sini ikan lagi banyak. Cuma satu la kat sini ... kerbau Hj. Isa (Pak Teh Sa) banyak sangat. Ada kot 50 - 70 ekor. Tak bertali ... kalau dia hambat ... boleh nahas bro.... Kalau dah kerbau banyak tu... turun kat bendang .. sahih .. air jadi keroh. tu .. tak termasuk taik kerbau .. air naik hijau... boleh jadi gatai.
Musim menyerkap ikan ni pada musim lepas padi di kerat. Waktu tu .. dah bermula air kering. cuma tiggal lopak-lopak dan kubang sahaja. Kalau ada aliran air pun setakat betis sahaja. Bukan selalu boleh menyerkap. Musim hujan ... air bah. Musim kemarau kering .... sungai pun putus aliran air.
Semasa meragau dalam serkap waktu nak tangkap ikan keli (cat fish) .. pasti terkena sengat. Kalau terkena bisa tu boleh menyerap sampai bawah ketiak. Nak angkat tangan pun payah... sakit. Waktu kena tu... macam-macam cara... ikhtiar nak kurangkan rasa sakit. Ada yang kencing tempat kena sengat.. yang lebih kelolo ... cucuk jari dalam tahi lembu/kerbau .. apa pun semua tu .. cuma psykologi saja nak hilangkan rasa sakit. Yang paling berkesan sekali nak hilang rasa sakit ni... bila balik kat rumah tuam tempat kena sengat dengan air panas. 2-3 keping asam gelugur masukkan ke dalam bekas air panas campur garam secekak dan tangas tempat yang kena sengat. Hanya untuk tangan atau kaki sahaja. Tempat lain ... ????
0 ulasan:
Catat Ulasan